Friday, 17 June 2016

FRANCAIS DI MALAYSIA



    1.        Pengenalan

Di Malaysia, perniagaan melalui sistem francais adalah satu bidang yang agak baru dan masih lagi berkembang dalam skop yang tidak meluas. Namun begitu, kajian pasaran menunjukkan bahawa sistem perniagaan francais merupakan perniagaan yang paling cepat berkembang di peringkat global. Berdasarkan hal ini, kerajaan telah mengenalpasti perniagaan francais sebagai satu di antara mekanisma yang paling cepat dan berkesan dalam membangunkan usahawan-usahawan tempatan dan telah menjadikan Program Pembangunan Francais sebagai satu di antara program utama untuk membangunkan usahawan Bumiputera. Sehubungan itu, Program Pembangunan Francais yang diperkenalkan pada tahun 1992, di bawah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri kini merupakan salah satu sumber ekonomi negara yang mampu memberikan nilai tambah ke arah merealisasikan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Faktor kestabilan politik dan pengukuhan ekonomi negara melalui pelbagai dasar ekonomi turut menyemarakkan lagi kerancakan bidang perniagaan di Malaysia. Ini menyebabkan negara kita dilihat amat berpotensi untuk membangunkan sistem perniagaan francais. Kerajaan Malaysia menyedari hakikat ini dan sedang giat memperkasakan strategi pelaksanaan untuk menjadikan francais sebagai pilihan utama usahawan yang berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan. Maka Perbadanan Nasional Berhad, telah diberi mandat sebagai agensi di bawah Bahagian Francais dan Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) untuk mengatur pelan pembangunan industri francais secara lebih komprehensif. Tujuh strategi utama iaitu promosi, program pakej khas, latihan, pembiayaan, pembangunan produk, jaringan strategik, pembangunan dan penyelidikan diperkenalkan. Latihan ilmiah ini secara khusus akan membincangkan perkembangan sistem francais di Malaysia. Ini termasuklah dari aspek sejarah, kemajuan, hala tuju serta masa depan sistem perniagaan ini pada masa depan. Perbincangan juga turut menyentuh aspek cabaran dan halangan serta program-program penambahbaikan untuk memajukannya.


    2.        Sejarah pembangunan industri francais pada peringkat global dan Malaysia

Secara am, pada dasarnya perkataan francais berasal daripada perkataan Perancis yang bermakna ‘kebebasan’ atau ‘pengecualian dari cukai’. Akan tetapi walaupun istilah francais diambil dari bahasa Perancis, namun negara yang mempopularkan sistem ini adalah Amerika Syarikat. Kejelasan maksud francais ini pula perlu merujuk kepada definisi yang dikeluarkan oleh badan ataupun lembaga yang menjalankan sistem francais ini, seperti pendapat International Franchise Association sebagai sebuah lembaga gabungan pengusaha francais di Amerika Syarikat ataupun lembaga-lembaga persatuan francais di setiap negara. Francais sebenarnya merupakan bentuk pemasaran yang baharu dalam perniagaan dan keusahawanan, disusun dalam bentuk organisasi yang lebih luas bagi mengembangkan pasaran. Terbukti bahawa apa yang diusahakan dalam sistem francais ini adalah memperbanyak kedai-kedai cawangan perniagaan ke pelbagai tempat, sama ada barangan mahupun perkhidmatan untuk mendapatkan keuntungan yang lebih banyak daripada penggunaan barangan dan perkhidmatan. Oleh itu ramai pihak yang akan terlibat dalam satu usaha francais. Masalah ini menjadi satu cabaran bagi pihak-pihak yang menceburkan dirinya ke dalam sistem francais agar dapat menjaga hubungan baik antara pihak dan selalu membuat strategi yang tepat di atas dasar kejujuran dan komitmen dalam perniagaan. Sejarah perkembangan francais di dunia menjadi bukti bahawa bentuk francais yang sedia ada pada saat ini merupakan pengembangan daripada sistem francais yang telah diterokai sejak tahun 1850-an dan mula berkembang tahun pada 1950-an serta 1960- an di Amerika Syarikat. Latar belakang dan matlamat daripada sistem ini adalah supaya barangan yang dikeluarkan oleh satu kawasan dapat diedar dan dijual ke seluruh bahagian lainnya. Pasaran francais negara kini dianggarkan bernilai RM250 juta dengan kadar pertumbuhannya di tahap 3 peratus setahun. Kadar ini dijangka melonjak kepada 30 peratus setahun menjelang tahun 2020. Perkembangan ini memberi peluang kepada peniaga bumiputera dalam sektor industri kecil dan sederhana menyertai perniagaan sekaligus meningkatkan jumlah bumiputera dalam perniagaan. Menurut anggaran Kementerian Pembangunan Usahawan, di negara ini terdapat kira-kira 1200 francais yang beroperasi. Jumlah itu merangkumi 311 francais yang dibangunkan menerusi program kementerian itu. Dari segi statistiknya, bilangan itu bolehlah dianggap sebagai membanggakan walaupun kerajaan sendiri masih belum berpuashati dengan bilangan itu. Ini terbukti apabila Malaysia disenaraikan di tangga ke-21 dunia serta tangga kedua di Asia selepas Jepun dalam pembangunan produk francais tempatan. Francais ertinya kontrak atau perjanjian antara dua pihak (franchisor dan franchisee) yang memberi pemegang francais (franchises) hak untuk mengendalikan perniagaan. Mengikut sistem francais yang ditentukan oleh pemberi francais (franchisor) selama tempoh yang ditentukan oleh pemberi francais. Hak mengendalikan perniagaan ini merangkumi hak untuk menggunakan cap, atau rahsia dagangan, atau apa-apa maklumat sulit atau harta intelektual, yang dipunyai oleh pemberi francais atau berhubungan dengan pemberi francais. Franchisor merupakan syarikat yang mempunyai sistem pemasaran yang telah terbukti berjaya. Sistem francais digunakan oleh perniagaan-perniagaan berjaya untuk berkembang cepat dan melipatkali gandakan keuntungan mereka dengan mengamalkan sistem yang berjaya di lokasi baru. Sistem franchise membolehkan franchisor mengatasi kekangan modal kerana modal disediakan franchisee ( Philip Kotler, 2011 ). Ini bermakna perniagaan secara francais adalah satu kaedah pemasaran dan pengedaran yang berasaskan hubungan dua pihak iaitu, francaisor (pemilik dan pemberi hak) dan francaisi (penerima hak). Hak yang diberikan ini adalah bagi tujuan menjalankan perniagaan menggunakan tanda nama atau tanda niaga milik francaisor berkenaan berasaskan suatu sistem tertentu, di lokasi atau kawasan yang ditetapkan dan dalam jangkamasa yang ditentukan, sebagaimana yang termaktub di dalam perjanjian francais yang ditandatangani. Sebahagian besar daripada perniagaan francais di Malaysia adalah dalam sektor makanan, perkhidmatan, aksesori wanita, keperluan rumah dan telekomunikasi. Syarikat-syarikat yang mengamalkan sistem francais termasuk McDonald, KFC, Hot Dog 1901, Kedai kasut Bata, Pizza Hut, Kedai Cosway dan Kopitiam.


     3.        Kepentingan industri francais terhadap pembangunan ekonomi dan sosial.

Sistem francais dapat membina satu hubungan dan jaringan usahawan yang mantap dan sukar digugat pesaing sekiranya objektif program difahami oleh semua usahawan (francaisor-francaisi) yang terlibat dalam program ini. Melalui sistem francais risiko dapat diminimakan dan diuruskan dengan lebih berkesan terutama bagi usahawan yang baru menceburi dunia bisnes. Pengurusan risiko ini melibatkan perkara-perkara yang terdedah kepada risiko seperti lambakan produk, stok lapuk, pusingan kakitangan, penjenamaan yang lemah, produk dan kualiti yang tidak berkualiti, kecairan tunai dan pengurusan kewangan yang lemah. Kepada francaisor, stok dan sumber manusia dapat diuruskan dengan lebih cekap serta dioptimakan berbanding jika membuka rangkaian ( outlet ) sendiri. Francaisor juga tidak perlu membuat pelaburan yang tinggi untuk membuka rangkaian ( outlet ) di merata lokasi. Kepada francaisor, rangkaian francaisi memberikan peluang kepada jenama francaisor berada di lokasi – lokasi yang tidak pernah atau tidak dapat dimasuki kerana keadaan tertentu, francaisi mempunyai hubugan yang lebih baik dengan pemilik dan pengurusan lokasi strategik atau lebih mengenali lokasi yang ingin diterokai. Di peringkat permulaan terdapat francaisi yang tidak berkeupayaan untuk mengajikan kumpulan pengurusan yang cekap dan berkelayakan untuk membantu dalam operasi harian bisnes, tetapi melalui konsep francais, francaisor dapat memberi panduan dan khidmat nasihat operasi bisnes secara berterusan kepada francaisi, pada masa yang sama juga francaisor dapat memberi sokongan khidmat nasihat kesetiausahaan dan perakaunan secara berkala atau berjadual kepada francaisi pada kadar yang sangat minima. Suasana ekonomi yang semakin mencabar telah menyebabkan kos bahan mentah, utiliti dan kadar upah semakin meningkat, ini memberi kesan kepada margin keuntungan bisnes semua industri, dan untuk meningkatkan harga julan produk dan perkhidmatan dalam suasana ekonomi pada hari ini adalah sesuatu yang sangat sensitif malahan dikhuatiri memberi persepsi negatif pelanggan terhadap imej bisnes, melalui sistem francais, kecekapan bisnes dapat ditingkatkan pada masa yang sama kos dapat diuruskan seterusnya diminimakan, dengan adanya rangkaian francaisi yang aktif, francaisor dapat merancang pembelian bahan mentah, membeli secara pukal, berkongsi kos untuk aktiviti –aktiviti pemasaran, merancang kakitangan mengikut keperluan, membina jenama dalam pasaran untuk menarik perhatian pelanggan dan seterusnya memindahkan kesemua penjimatan kos ini kepada rangkaian francaisi.


  4.        Tahap pembangunan industri francais di Malaysia.

Sistem perniagaan francais ini kurang dikenali di Malaysia sebelum tahun 1990-an, mula dikenali ramai di Malaysia selepas kerajaan melancarkan Program Pembangunan Francais pada tahun 1992 dan selepas Persatuan Francais Malaysia (MFA) ditubuhkan pada tahun 1994. Sejak diperkenalkan oleh kerajaan, perniagaan francais di Malaysia semakin berkembang, pada tahun 1995 terdapat 125 sistem francais di Malaysia dan pada tahun 2000 jumlahnya meningkat kepada 268, pada tahun 2003 jumlah francais melonjak kepada 321. Berdasarkan perangkaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) sehingga pertengahan tahun 2009 terdapt 374 sistem perniagaan francais berdaftar di seluruh negara, daripada jumlah itu 60 hingga 70 daripadanya dimiliki oleh ahli perniagaan bumiputera, sementara selebihnya ialah milik bukan bumiputera. Pada tahun 2010 pula Bahagian Pembangunan Francais (KPDNKK) menyenaraikan sejumlah 473 francaisor yang berdaftardi bawah Akta Francais 1998. Kebanyakan daripada perniagaan francais ini adalah dalam lima sektor utama iaitu sektor makanan, pakaian dan aksesori, peruncitan, kecantikan dan kesihatan serta perhotelan. Perkembangan dalam sistem perniagaan francais ini merupakan sesuatu yang membanggakan memandangkan industri francias di Malaysia masih baru berbanding dengan negara-negara yang lain. Pembangunan perniagaan francais di Malaysia banyak diperngaruhi oleh peranan yang dimainkan oleh kerajaan. Program Pembangunan Francais ditubuhkan pada tahun 1992 di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperari (MeCD) untuk membangunkan industri francais di Malaysia terutamanya dari aspek pembangunan keusahawanan dan pembangunan produk-produk francais tempatan, kerajaan mengenalpasti perniagaan francais sebagai salah satu daripada mekanisme yang paling cepat dan berkesan dalam membangunkan usahawan – usahawan tempatan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan menjadikan Progeam Pembangunan Francais sebagai salah satu program utama untuk membangunkan usahawan golongan menengah bumiputera dan Masyarakat Perdangangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Sejak penubuhan Pembangunan Francais pada tahun 1993 dan diikuti dengan penubuhan Persatuan Francais Malaysia pada tahun 1994 senario industri francais di Malaysia menampakkan perkembangan yang lebih pesat, pelbagai program dan aktiviti dijalankan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat serta usahawan tentang potensi perniagaan francais di negara ini. Ekoran daripada itu, lebih banyak produk dan perkhidmatan menggunakan pendekatan sistem francais. Sehubungan dengan itu, Akta Francais Malaysia 1998 digubal dan dikuatkuasakan bagi mengawal selia industri yang sedan berkembang pesar ini, di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh kerajaan menetapkan sasaran seramai 1,200 francaisi dan di bawah Rancangan Malaysia Kelapan pula kerajaan menyasarkan untuk membangunkan seramai 1,000 francaisi dan 50 francaisor, sehubungan dengan itu, bagi mencapai hasrat ini pelbagai aktiviti dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang potensi dan peluang-peluang perniagaan francais di Malaysia. Kerajaan meneruskan Program Pembangunan Francais, (MsCD) bekerjasama dengan Persatuan Francais Malaysia dan agensi-agensi yang berkaitan keusahawanan seperti Institusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CeDI), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), apabila MeCD dimansuhkan pada tahun 2009, tugas untuk membangunkan industri francais di Malaysia dipindahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang juga menyasarkan untuk membangunkan kira-kira 50 francaisor tempatan dan 1,000 francaisi menjelang 2012. Perniagaan francais di Malaysia semakin berkembang, antara bidang yang ingin dibangunkan atau dikembangkan ialah bidang perkhidmatan, pakej francais mikro dan mobile serta produk yang berteknologi tinggi dan berinovasi. Bidang perkhidmatan meliputi bidang kecantikan dan andaman, perkhidmatan cucian dan penyelenggaraan, jagan harian org tua dan kanak-kanak, hotel murah dan lain-lain. Pakej francais mikro dan mobile akan menfokuskan produk perusahaan kecil dan sederhana (SME), kios makanan, perkhidmatan kecantikan dan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan bergerak. Produk berteknologi tinggi atau produk berinovasi akan dikenalpasti melalui MOSTI dan MDEC.


    5.        Sistem sokongan oleh pihak kerajaan dan swasta industri francais di Malaysia

Sejak pertengahan tahun 1992, kerajaan telah menerima pakai pendekatan pembangunan francais sebagai salah satu cara untuk meningkatkan bilangan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang merupakan antara agenda terpenting di dalam Dasar Pembangunan Nasional yang menggantikan Dasar Ekonomi Baru. Rentetan daripada itu, satu bahagian khusus yang dikenali sebagai Bahagian Pembangunan Francais telah ditubuhkan di bawah Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya, Program Pembangunan Francais (PPF) telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 27 Januari 1994. Oleh yang demikian, dari segi sejarah, penubuhan Bahagian Pembangunan Francais dan pelancaran PPF dibuat sebelum diwujudkan Kementerian Pembangunan Usahawan, yang kemudiannya menjadi penaung kepada kedua-duanya mulai 8 Mei 1995. Soalnya kenapa francais? Apalah sangat kelebihannya jika dibandingkan dengan pendekatan perniagaan atau program pembangunan usahawan yang lain? Umumnya, kelebihan rangkaian perniagaan yang menggunakan sistem francais adalah berasaskan prinsip 5C iaitu;

              I.        Consistency (keseragaman)

            II.        Competitiveness (daya saing)

           III.        Convenience (keselesaan)

          IV.        Cleanliness (kebersihan)

           V.        Courtesy (layanan mesra).

Perniagaan francais diasaskan kepada hubungan menang-menang di antara dua entiti usahawan, iaitu francaisor dan francaisi. Hubungan ini secara amnya menghasilkan satu bentuk perkongsian pintar di mana kedua-dua pihak memperoleh manfaat dan kelebihan masing-masing. Bagi francaisor, di antara kelebihan sistem francais kepada mereka aialah menerusi rangkaian sistem francais, francaisor dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan operasi dan menikmati skala ekonomi melalui pembelian secara pukal serta perkongsian kos pengiklanan dan promosi secara berpusat. Ini memungkinkan rangkaian berkenaan menawarkan harga barangan yang lebih kompetitif serta melaksanakan aktiviti pengiklanan dan promosi dengan lebih agresif, francais juga memungkinkan francaisor menembusi pasaran yang luas dengan lebih cepat dan efektif (termasuk pasaran luar negara) tanpa melibatkan modal yang besar, kerana sebahagian besar pelaburan ditanggung oleh francaisi. Menerusi francais juga, francaisor dapat menikmati rangkaian pemasaran produk dan perkhidmatannya yang lebih besar serta memungkinkan peningkatan pengeluaran dan pengedaran yang lebih pesat. Melalui sistem francais, francaisor juga dapat mengelak daripada mengadakan struktur kakitangan yang besar, termasuk membayar gaji pengurus dan kakitangan cawangan yang ramai. Tempat mereka diganti dengan francaisi-francaisi yang merupakan pemilik dan pengusaha perniagaan mereka sendiri yang pastinya mempunyai motivasi dan semangat juang yang lebih tinggi. Hal ini bermakna francaisor dapat memindahkan sebahagian tanggungjawab menjalankan kajian berdaya maju, pemilihan lokasi, latihan kakitangan, pengiklanan tempatan dan lain-lain kerenah pentadbiran kepada pemilik dan pengusaha tempatan, iaitu francaisi. Ramai beranggapan bahawa perniagaan francais merupakan cara termudah untuk memulakan perniagaan, pasti menguntungkan, jenama terkenal, mendapat latihan mantap dari francaisor, dan sebagainya. Sebenarnya apabila seseorang usahawan telah terlibat secara langsung dengan perniagaan francais barulah mereka akan merasai baik buruk perniagaan ini. Sebelum memilih untuk menjadi francaisi sesuatu sistem perniagaan francais, amat wajar sekiranya para usahawan meneliti perkara-perkara berikut. Kegagalan untuk mematuhi satu daripada perkara-perkra berikut akan menyebabkan kegagalan malahan ianya juga boleh mengakibatkan bankrap. Sepertimana yang diketahui bahawa modal bagi memulakan sesuatu perniagaan francais adalah besar.Oleh itu, tidak semua orang mampu untuk menjalankan perniagaan ini walaupun mampu memberi pulangan yang lumayan. Di samping berbekalkan modal permulaan dengan menggunakan wang daripada simpanan bakal usahawan, terdapat juga sumber kewangan yang boleh diperolehi melalui pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang dilantik secara khusus ataupun tidak untuk mengembangkan sistem perniagaan francais, antaranya yang paling rapat dengan perniagaan ini adalah Pemodalan Nasional Berhad (PNS) iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK). KPDNKK telah ditubuhkan pada 27 Oktober 1990 bermatlamat untuk menggalakkan pembangunan perdagangan dalam negeri yang beretika dan melindungi kepentingan pengguna.Pada tahun 2009, peranan dan fungsi kementerian telah diperluaskan untuk merangkumi sektor francais dan koperasi. Salah satu agensi di bawah KPDNKK yang terlibat secara langsung dengan perniagaan francais adalah PNS.Peranan PNS adalah untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.PNS mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melalui kepakaran dalam memberikan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti PNS juga berperanan di dalam mempelopori dan menerajui pertumbuhan industri francais negara demi merealisasikan matlamat untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang perniagaan francais. Salah satu objektif utama PNS adalah untuk membangunkan produk tempatan dan mengembangkannya ke luar negara.PNS juga menyediakan khidmat nasihat dan skim-skim khas bagi francaisor dan francaisi serta mengalu-alukan rakan francais ke Malaysia ( Jaafar Ali, 2013 ). Di bawah PNS terdapat beberapa skim pembiayaan pinjaman bagi perniagaan francais yang boleh dimanfaatkan oleh bakal-bakal francaisi antaranya adalah Skim Pembiayaan Francaisi dan Skim Pembiayaan Eksekutif dengan saiz pinjaman sehingga RM1 juta. Dalam pada itu, terdapat banyak agensi kerajaan yang turut menyediakan kemudahan pembiayaan pinjaman secara tidak langsung untuk memula dan mengembangkan lagi perniagaan francais antaranya, SME Bank, Majlis Amanah Rakrat (MARA), Tabung Ekonomi Usaha Niaga (TEKUN), dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Panduan kepada usahawan untuk memilih perniagaan francais adalah sebelum mengambil keputusan untuk memilih sesuatu perniagaan francais, beberapa perkara perlu diambil kira dan dipertimbangkan supaya pemilihan yang dilakukan adalah tepat dan seterusnya boleh menguntungkan francaisi dalam jangka panjang. Perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan adalah seperti bakal francaisi perlu menentukan apakah jenis perniagaan yang ingin diceburi dan pilih jenis perniagaan yang sesuai dengan minat dan kemahiran yang ada ( Ismail Mohamad, 2013 ). Kejayaan Perniagaan Francais sebenarnya banyak bergantung kepada hubungan yang baik antara francaisor dengan francaisi. Hal ini sangat penting kerana perniagaan francais yang telah terbukti mempunyai peratusan kadar kejayaan yang tinggi akan memberi peluang terbaik untuk francaisi turut berjaya dalam perniagaannya. Ini termasuk juga kadar pertumbuhan perniagaan, iaitu kadar pertumbuhan perniagaan yang boleh diukur dengan bilangan ‘outlet’ yang telah dibuka oleh francaisor tersebut. Ia merupakan petunjuk yang baik untuk menilai keuntungan dan potensi peluang francais yang disediakan oleh francaisor. Keuntungan syarikat juga merupakan sistem sokongan yang mampu memajukan lagi sistem francais. Kedudukan kewangan syarikat francais boleh dilihat dari laporan tahunan yang dikeluarkan dan syarikat yang menunjukkan keuntungan yang tinggi dan berterusan memberi jaminan bahawa francaisi akan mendapat sokongan berterusan. Selain itu, pengalaman perniagaan juga berfungsi sebagai sistem sokongan penting kepada perniagaan francais. Perkara ini sangat penting kerana pengalaman perniagaan adalah elemen utama untuk meminimakan risiko pelaburan. Ini bermakna perniagaan francais yang hendak dipilih perlu mempunyai rekod kejayaan dan pertumbuhan yang baik untuk beberapa tahun. Termasuk juga dalam sistem sokongan perniagaan francais ialah saiz sistem rangkaian. Syarikat francais yang mempunyai saiz sistem rangkaian yang besar dan bersistematik boleh memberi kebaikan dari segi ekonomi bidangan (belian stok, iklan dan lain-lain). Hal ini turut mempengaruhi kedudukan syarikat dalam Industri . Hal ini menjelaskan kepada francaisi bahawa mereka mestilah memilih syarikat yang menjadi ‘leader’ dalam industri tertentu supaya perniagaan boleh terus bertahan walau dalam keadaan ekonomi yang tidak baik. Rekabentuk dan hiasan dalam outlet turut berfungsi sebagai sistem sokongan yang akan menentukan kejayaan perniagaan francais. Hal ini bermakna francaisor yang bertanggungjawab juga akan membekalkan kemudahan dan bantuan dalam menyediakan rekabentuk dan hiasan dalam outlet untuk memastikan bahawa outlet francaisi adalah seragam dengan konsep francais keseluruhannya. Dalam hal ini, sistem sokongan yang berterusan terutama dalam aspek teknikal dan operasi dari pihak francaisor amat penting dalam perniagaan francais. Pihak francaisor perlu menentukan hak kewilayahan kepada setiap francaisi supaya tidak timbul masalah persaingan di antara sesama perniagaan francais di dalam wilayah yang sama. Saiz wilayah tersebut bergantung kepada kepadatan penduduk, demografi dan bilangan pelanggan yang diperlukan oleh francaisi untuk menyokong perniagaan outletnya. Seterusnya, sistem sokongan yang paling penting untuk menjayakan perniagaan francais ialah sumber kewangan. Bantuan kewangan atau kos untuk perniagaan francais biasanya adalah tinggi dan amat berbeza dengan sumber modal untuk menjalankan perniagaan sendiri. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana kita memulakan perniagaan dengan menggunakan jenama yang telah sedia ada di pasaran. Kos yang dimaksudkan ini termasuklah yuran francais, sewa premis dan peralatan, bekalan dan stok dan lain-lain perbelanjaan. Jika francaisor tersebut benar-benar ingin melihat kejayaan francaisinya, seharusnya ia membantu francaisi dari segi kewangan seperti penyewaan peralatan, membekalkan stok perniagaan dengan cara kredit dan lain-lain.



    6.        Cabaran/halangan yang dihadapi oleh francaisi dan francaisor di Malaysia.

Kos untuk mendapatkan hak menggunakan jenama dan bantuan dari francaisor adalah tinggi dan francaisi perlu membayar kos-kos seperti :

      I.        Yuran Francais – Yuran francais adalah dalam satu jumlah yang besar dan tidak dikembalikan. Francaisi juga perlu membayar kos sewa, deposit, pembelian aset dan pengubahsuaian kedai.

    II.        Royalti Bulanan – Royalti dibayar mengikut peratus jualan bulanan. Francaisi perlu membayar royalti walaupun tidak memperolehi keuntungan, walaupun francaisor tidak membantu perniagaan francaisi kerana francaisi menggunakan jenama francaisor tersebut.

Di Malaysia, terdapat isu berkenaan bayaran royalti ini di mana agensi kerajaan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNS) (badan bertindak untuk francais Malaysia) mengarahkan supaya pembayaran royalti tidak lebih dari 5% jumlah jualan bulanan francaisi. ; Yuran Iklan – Yuran iklan yang dibayar digunakan oleh francaisor untuk mengiklankan jenama produk atau perkhidmatan dan untuk menarik lebih ramai francaisi. Tetapi ianya mungkin tidak mempromosikan perniagaan francaisi tersebut. Tambahan pula, pelaburan modal permulaan perniagaan francais yang besar menjadikan bentuk perniagaan ini lebih eksklusif dan sukar untuk bakal usahawan menceburi dan memasuki pasaran seperti ini. Untuk menjaga keseramanan, francaisor akan mengawal perniagaan francaisi. Kadang-kala, tindakan ini menghalang francaisi untuk bebas berniaga. Halangan-halangan yang wujud seperti pemilihan lokasi juga menjadi satu isu dalam sistem francais. Pemilihan Lokasi bermaksud pihak francaisor akan memilih lokasi yang difikirkan sesuai dengan perniagaannya dan lokasi tersebut mungkin tidak sesuai dari sudut pandangan francaisi. Di dalam banyak kes, francaisi akan mencadangkan lokasi kepada francaisor. Francaisor akan melawat lokasi tersebut dan memberi pendapatnya samaada sesuai atau tidak. Jika tidak, Francaisor akan membantu mencari kawasan yang difikirkan strategik. Berkaitan dengan aspek hiasan dalaman dan konsep perniagaan pula, terdapat francaisor yang akan menukar hiasan dalaman dan konsep perniagaan mengikut musim. Jadi, kos renovasi dan pengubahsuaian tersebut mungkin tidak mampu untuk ditanggung oleh francaisi. Kebiasaannya, francaisor akan selalu menukar konsep perniagaan, uniform serta sistem komputer.Francaisor juga akan mengawal setiap produk dan perkhidmatan perniagaan francaisi. Jadi, francaisi tidak boleh menjual produk dan perkhidmatan selain daripada francaisor. Ada juga kes di mana francaisor menghadkan bilangan stok yang dijual. Misalnya baju saiz S, francaisor hanya membekalkan 10 helai sahaja. Apabila baju tersebut habis, francaisi menempah dari francaisor, tetapi francaisor tidak memberi stok yang diminta. Apabila berlaku kes sedemikian, francaisi boleh mencuba meminta stok daripada francaisi lain. Kes seperti ini sebenarnya tidak dinyatakan dalam perjanjian francais. Jadi, pihak francaisi perlu berhati-hati. Francaisor mengawal waktu operasi perniagaan, uniform pekerja, iklan serta promosi dan juga prosedur perniagaan. Harga jualan juga dikawal sehingga francaisi tidak dapat memberi diskaun kepada pelanggan. Pengedar juga perlulah terdiri daripada pengedar yang diluluskan oleh francaisor, walaupun francaisi boleh mendapatkan barang daripada pengedar yang lebih murah. Berdasarkan aspek ini, dicadangkan agar francaisi mencari francaisor yang memberi ruang untuk kemukakan idea francaisi sendiri dan memberi kebebasan untuk francaisi berniaga demi perniagaan mereka. Kawalan ini bertujuan untuk menggelak daripada bersaing dengan francaisi lain. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghalang francaisi membuka cawangan lain atau berpindah ke lokasi lain. Francaisor juga mempunyai hak untuk menghalang francaisi membuat website sendiri. Kelemahan akta dan peraturan sedia ada menjadi duri dalam daging kepada pembangunan industri francais di Malaysia dan perlu dicungkil segera supaya tidak menjejaskan kemajuannya.Kelemahan-kelemahan yang ada telah memburukkan imej sistem francais sehingga dilihat sebagai sistem yang menipu dan banyak pihak yang tertipu terutamanya usahawan baharu, kata sebuah syarikat perunding francais tempatan. Keadaan berkenaan timbul kerana ketiadaan dokumen zahir atau prospektus disediakan untuk membolehkan pemohon (bakal francaisi) mengetahui maklumat terperinci tentang francaisor dan produknya. Apa yang berlaku sekarang, perkara tersebut dipandang ringan serta ketiadaan garis panduan khas disediakan kerajaan menyebabkan penyediaan prospektus dilakukan secara sambil lewa dan bakal mengundang masalah. Permasalahan ini menyebabkan sistem francais dipalitkan dengan kecaman-kecaman yang negatif sehingga membantutkan usaha untuk mengembangkan sistem berkenaan. Perlu ada prospektus yang lengkap untuk memberikan penerangan sejelas-jelasnya kepada francaisi tentang latar belakang francaisor, prestasi kewangan, status perundangan, potensi francais dan beberapa maklumat lagi.Jika semua maklumat ini tidak didedahkan, maka timbul masalah seperti francaisi tertipu dan mengalami kerugian selepas memeterai perjanjian francais. Berdasarkan Akta Francais, prospektus perlu diserahkan 10 hari sebelum menandatangani dokumen dan tujuh hari waktu bekerja ditetapkan untuk masa menunggu sebelum proses disahkan. Sikap buruk usahawan atau bakal francaisi pula adalah tidak mahu membaca terma perjanjian terlebih dahulu dan pada masa yang sama pihak francaisor juga tidak memberikan penerangan secara terperinci tentangnya. Oleh itu, apabila timbul masalah, kedua-dua pihak akan saling menuding jari dan akhirnya yang dipersalahkan adalah sistem francais itu sendiri. Francaisi juga mudah dikhianati oleh pihak francaisor yang tidak jujur dan tamak. Misalnya, pada peringkat permulaan, pihak francaisor memberi kebenaran dan hak pengoperasian perniagaan francais kepada francaisi terutamanya pengoperasian perniagaan itu berjalan di kawasan yang kurang membangun. Apabila perniagaan francais berkenaan di kawasan itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor mengambil balik hak berniaga dan beroperasi sendiri. Tindakan pihak francaisor sedemikian tentu sekali merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan perniagaannya. Masalah-masalah itu berlaku akibat francaisi tidak mempunyai pengetahuan dan persediaan yang cukup melibatkan diri dalam perniagaan berkenaan.Kegagalan berlaku berpunca daripada sikap francaisi yang terlalu bergantung kepada francaisor sedangkan untuk berjaya dalam industri itu bukan mudah. Francaisi bukan sahaja sekadar mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan modal semata-mata sebaliknya perlu belajar dan memahami selok-belok perniagaan yang bakal diceburi. Francaisi perlu memenuhi pengetahuan dari aspek kewangan, simpanan, komitmen, kemampuan dari mental dan fizikal, memiliki kepercayaan kepada produk serta sentiasa menjalankan penyelidikan. Penglibatan serta penerusan pihak francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk kepada peraturan dan sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor. Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan inovasi francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya. Kontrak francais akan tamat sekiranya francaisi melanggar perjanjian francais. Kontrak ini sah untuk tempoh masa yang telah dipersetujui; tiada jaminan atas pembaharuan kontrak. Hal ini bermakna pihak francaisor boleh menamatkan kontrak sekiranya francaisi gagal membayar royalti, gagal menunjukkan prestasi yang menguntungkan dan lain-lain sebab yang munasabah. Segala pelaburan francaisi akan hilang apabila kontrak tamat. Di Malaysia, setiap perjanjian francais adalah untuk 5 tahun. Adalah dinasihatkan francaisi untuk memastikan pulangan modal francaisi tidak sampai 5 tahun. Maksudnya, dalam tempoh 5 tahun, pihak francaisi mestilah beruapaya untuk mendapatkan semula nilai keuntungan melalui pelaburan yang dibuat. Pembaharuan kontrak dalam sistem perniagaan francais tidak berlaku secara automatik. Segala terma dan syarat mungkin akan berubah. Antaranya termasuklah kenaikan kadar bayaran royalti, membuat pengubahsuaian kedai, menggurangkan hak wilayah dan kawalan atas jualan. Semua pembaharuan ini berkemungkinan untuk memberi peluang kepada francaisi lain.


 7.        Masa hadapan industri francais di Malaysia.

Meskipun begitu, membangunkan perniagaan dan usahawan francais bukanlah satu perkara yang mudah. Perniagaan francais secara relatifnya masih baru di negara ini dan pastinya dalam proses pembangunan sebegini, terdapat masalah percubaan, kematangan dan salah tanggapan. Oleh yang demikian, Kementerian Pembangunan Usahawan dengan kerjasama erat Persatuan Francais Malaysia dan agensi-agensi lain yang berkaitan terus giat melaksanakan program-program pendedahan dan pendidikan, termasuk beberapa siri kempen jalanan (road-shows) yang meliputi seminar dan pameran ke seluruh negara, kursus dan latihan pengurusan perniagaan francais serta persidangan dan ekspo francais peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Bagi tujuan mengawalselia industri ini juga, kerajaan telah mewujudkan Akta Francais Malaysia 1998 yang telah dikuatkuasakan pada 8 Oktober 1999. Sistem perniagaan secara francais mempunyai masa depan yang amat cerah di Negara kita. Perkembangan pesat dalam sistem ekonomi negara turut memajukan lagi perniagaan secara francaisi. Namun begitu, sistem perniagaan yang ber­kembang pesat dan melibatkan pihak berkepentingan pasti akan menimbulkan pelbagai masalah dan satu daripada penyelesaian terbaik adalah dengan mewujudkan akta atau garis panduan khas sebagai panduan. Seperti sistem perniagaan lain, sistem francais di Malaysia turut dilindungi oleh undang-undang iaitu Akta Francais 1998 bagi memastikan industri berkenaan ditadbir dengan berkesan dan beretika. Akta yang bertujuan untuk menyediakan proses lengkap bagi pendaftaran dan peraturan berhubung industri francais bagi memastikan berkembang secara sistematik untuk jangka masa panjang. Pengenalan peraturan ini adalah bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan suasana yang kondusif dalam industri francais. Dalam masa yang sama dapat memperolehi maklum balas industri. Selain itu, akta berkenaan turut mengandungi dasar melindungi usahawan tempatan kerana untuk mereka bersaing dengan jenama luar negara dalam tempoh yang singkat adalah amat mustahil dan memastikan golongan berkenaan tidak tertipu dengan mana-mana skim francais yang ditawarkan di pasaran. Secara umumnya, akta berkenaan merangkumi keseluruhan elemen dalam sistem francais bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat secara adil dan untuk jangka masa panjang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pihak yang terlibat dengan sistem ini perlu peka dan memahami setiap aspek sistem francais, antaranya tiga elemen paling penting iaitu Hak Harta Intelek, sistem operasi dan sistem sokongan berterusan. Hak Harta Intelek adalah jenama yang akan digunakan dalam sesebuah perniagaan francais yang akan menjadi aset penting dan mampu mewujudkan pelanggan setia. Semakin terkenal jenama berkenaan semakin besar potensi pernigaan. Contohnya seperti McDonald's, Smart Readers dan lain-lain. Elemen seperti sistem operasi dan sistem sokongan berterusan adalah perlu kerana akan membuktikan keberkesanan model perniagaan dan kelangsungan pertumbuhan pada masa depan. Peraturan dalam Akta Francais dilihat mampu memberi impak positif kepada francaisor dan francaisi. Kesemua perjanjian antara kedua-dua pihak tersebut akan didokumenkan dan dibawah Akta Francais terdapat beberapa elemen yang perlu dijelaskan dalam perjanjian berkenaan antaranya pendaftaran, hak, sistem operasi, tempoh masa, penamatan perjanjian dan pelbagai lagi. Secara keseluruhannya, undang-undang dalam sistem francais bukan hanya diamalkan di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, cuma berbeza mengikut keperluan sesebuah negara.


  8.        Penutup

Secara keseluruhannya, sistem perniagaan francais semakin berkembang maju di Malaysia. Pelbagai aktiviti perniagaan yang berlandaskan konsep francais telah merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan memberi banyak pilihan kepada pengguna. Perniagaan francais mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi aktiviti pembangunan usahawan serta pemindahan kepakaran, teknologi dan idea-idea baru. Pertumbuhan rangkaian perniagaan francais juga mampu menyediakan peluang pekerjaan, kerana umumnya perniagaan kecil dan sederhana lebih mudah dan cepat dari segi pengambilan tenaga kerja. Sistem francais juga boleh membantu mewujudkan budaya baru di dalam menjalankan perniagaan dengan penekanan diberikan kepada aspek-aspek disiplin yang tinggi, perkhidmatan pelanggan yang berkualiti, kebersihan dan keseragaman. Pemantapan budaya perniagaan seperti ini penting bagi membolehkan perniagaan tempatan bersaing di peringkat antarabangsa. Sistem perniagaan francais secara tidak langsung dapat memupuk daya keusahawanan melalui proses kreativiti dan innovasi mencipta produk baru dan memberikan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak manusia. Dalam hal ini, Ismail Mohamad (2012), menjelaskan bahawa sistem perniagaan francais menyediakan produk atau perkhidmatan yang diperlukan oleh pengguna. Dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang baik, francaisor dan francaisi akan mencari kaedah yang lebih baik untuk memaksimakan sumber dan mengurangkan pembaziran. Inilah yang menjadi teras kepada system perniagaan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan usahawan di negara kita pada hari ini. Dengan ini, masyarakat akan mendapat produk (barangan) dan perkhidmatan yang lebih baik pada harga yang lebih murah. Jelasnya, sistem perniagaan francais membantu memperbaiki kehidupan berjuta-juta manusia melalui produk dan perkhidmatan baru yang diperkenalkan kepada pasaran. Secara tidak langsung sistem ini bukan sahaja berjaya melahirkan lebih ramai golongan usahawan, tetapi pada masa yang sama turut memberikan alternatif kepada pengguna untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang berkualiti.






  9.        Rujukan

1.    Ismail Mohamad. ( 2012 ) . Francais : konsep dan perkembangannya.          
     Dewan Budaya, September : 48-49.

 2.    Francais : Satu konsep perniagaan baru. ( 2013 ) . Berita Harian, 23 April : 12.
 3.    Gary Amstrong. (2011). Princples of Marketing. Singapore : Pearson Educational.

 4.    Perniagaan Francais melalui internet. ( 2010 ) . Utusan Malaysia,12 Ogos : 8.
 5.    Philip Kotler. ( 2011 ). Marketing Management. London : Prentice Hall.

 6.    Min Chen. (2004). Common Culture, Diverse Style. The China Business Review,        
      sept-okt, pp. 53-59.
7.    http://www.kpdnkk.gov.my/kpdnkkv3/images/KPDNKK/PDF/Peniaga/PIPFNBM.pdf